Alam berubah...
Manusia juga berubah...
In fact everything that exist will undergo some changes
Towards some point...less or more...or maybe drastically change...
This blog is basically the expression of my life. Some of the things is quite personal yet it is just me...whenever I thought that it might be something significant and meaningful to me, so here is where I share. Place where I express my thought, what I think and things I've read.
Saturday, November 26, 2011
Reminiscence
Kita merancang dengan CITA-CITA yang kita impikan. Allah juga merancang...tetapi perancangan-Nya penuh dengan CINTA.
Sometimes...we overlook at something
We misinterpret on things happened around us
Hey look again...not with your eyes...
But from your eyes through your heart...
Then you will know
Things happen for a reason~
Sometimes...we overlook at something
We misinterpret on things happened around us
Hey look again...not with your eyes...
But from your eyes through your heart...
Then you will know
Things happen for a reason~
Saturday, November 12, 2011
Hidayah
Bila DIA Memberi Jawapan...
Assalamualaikum pembaca dan teman-teman setia. Pada entry kali ini, saya ingin berkogsi sedikit cerita mengenai pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Mungkin pengalaman ini tidak seberapa namun, bagi saya ia amat bererti untuk saya berasa amat bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan pada saya selama ini. Harap perkongsian cerita saya ini membawa manfaat walau tidak banya, namun sekurang-kurangnya berbekas walau sedikit dihati buat diri untuk berfikir dan berzikir. Sekian.
Kaki melangkah longlai ke bilik mesyuarat. Sungguh terasa benar keletihan berselirat di setiap denyut nadi. Walhal pada ketika itu jam baru sahaja menginjak ke pukul 9.00 malam. Bergelar mahasiswa sememangnya sesuatu yang menyeronokkan namun bisa sahaja menjadi sesuatu yang cukup memenatkan bilamana diri turut terlibat aktif sebagai wakil desa siswa. Baru seminggu menjejakkan kaki semula ke bumi kampus setelah cuti panjang dan kebetulan baru sahaja menjalani pembedahan kecil. Rutin harian kampus terasa sedikit berat untuk dijalani. Perasaan malas masih bermaharajalela dalam diri. Malahan, badan ini sendiri masih belum terbiasa dengan rutin kebiasaan di kampus. Al-maklum sahaja…cuti yang lama telah membekukan segenap sendi.
Entah kenapa hari-hari yang aku lewati kebelakangan ini terasa ‘sepi’…seakan ‘kosong’ tiada berisi. Walhal begitu banyak perkara yang aku perlu fikirkan terutamanya sekarang diri ini sudah bergelar mahasiswa tahun akhir. Tentu sahaja bertimbun artikel perlu dibaca untuk menyudahkan projek tahun akhir.
“Aah…fikirkan dulu perkara yang sedang berlaku kini.” Lamunanku lantas terbantut tatkala daun pintu bilik mesyuarat dikuak. Kelihatan wajah-wajah rakan seperjuangan yang lama tidak kutemui. Mereka menegurku ramah. Sungguh keramahan tersebut bisa membuat diri berasa terisi dengan kehadiran mereka sebagai pengganti keluarga di tanah sana. Namun perasaan itu cuma seketika. Ia kemudian bertukar dengan rasa risau apabila melihat wajah penyelia asrama kami yang nyata menunjukkan riak kurang senang. Hati aku cuak bercampur risau! Rupanya malam itu kami ada tugasan penting. Wang pelajar sejumlah RM1000 telah hilang daripada simpanan! Ya Rabbi…sungguh aku terkesima bercampur terkejut dengan berita yang baru aku terima itu.Malam itu kami dikerahkan untuk melakukan ‘spot check’ dari bilik ke bilik setiap pelajar yang pernah terlibat menggunakan bilik aktiviti, tempat dimana duit tersebut disimpan dan telah hilang.
Dari bilik ke bilik dan kemudian aku bersama seorang lagi rakan menuju ke bilik pelajar seterusnya. Sampai di bilik pelajar tersebut, rakanku ini menyelongkar barangan pelajar tersebut di setiap laci almarinya. Memandangkan keadaanku yang masih belum membaik sepenuhnya, terkadang aku cuma menjadi pemerhati yang setia disamping rakanku ini. Namun tiba-tiba saat rakanku ini menyelongkar ke laci yang paling bawah di almari pelajar tersebut, aku terlihat sesuatu yang amat membuatkan jiwa ini terpempan seketika. Malahan aku percaya, rakan setugas aku pada ketika itu juga turut merasakan hal yang sama…terkejut besar! Gadis tersebut juga daku lihat agak menggelabah namun masih mampu berlagak selamba dan bersahaja. Aku sekadar melihat wajah rakanku yang kelihatannya terdiam seketika.
Entah dari mana ada sesuatu yang mendesak aku untuk berbicara meluahkan apa yang terbuku di hati pada saat itu. Lantas aku suarakan juga pada gadis itu walau sebenarnya aku bukanlah seorang yang ‘outspoken’ sebegitu rupa. “Erm dik…Al-Quran tue nanti jangan letak dalam laci bawah ya…bawah sangat daripada paras lutut. Paling elok nanti letakkan atas daripada paras pinggang ok?” Sesaat dia membalas, jawapan yang cukup membuatkan aku mengangkat kening tanda kehairanan. “Err…tak. Al-Quran dengan telekung tue kawan saya yang punya. Dia tumpang letak di rumah saya sekejap.” Aku tercengang sebentar sebelum dapat mencerna kata-kata gadis tersebut. Pelbagai soalan lantas mampir melintas ke akal. Aku cuma menganggukkan kepala menyambung, “Owh maaf ya…ingatkan awak muslim tadi.” Memang sedari awal tadi aku menyangka yang dia bukannya seorang muslim berdasarkan wajahnya. Wajah tipikal orang bumiputra di sini (Borneo). Wajah orang Iban yang kebiasaannya, majoriti boleh dikatakan 90% adalah beragama Kristian. Cuma hati terlintas menegur sedemikian rupa bilamana aku terpandang nashkah Al-Quran tersebut diatas lipatan telekung dan sejadah yang tersimpan kemas dalam laci.
Selesai menggeledah rumah tersebut kami menyambung tugasan untuk melakukan pemeriksaan di rumah-rumah lain. Aku mula mendiamkan diri selepas insiden tadi. Ada sesuatu yang aku fikirkan. Ada sesuatu yang aku rasakan. Kala itu serasa diri seakan membeku, nadi seakan berdenyut tanpa darah. Wajah terasa sejuk. Hati merasakan sesuatu yang tidak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata. Namun, aku tak punya jawapan. Aku hanya punya naluri yang semakin kuat membisikkan hal yang sama semenjak insiden tadi. Teringat kata-kata seorang teman. Naluri tidak pasti memberi jawapan. Tetapi fakta pasti member jawapan.
Aku kembali menjalankan tugas. Namun kali ini aku diam tanpa secebis kata. Tiba-tiba bahuku disentuh seseorang. Gadis tadi! “Akak…akak marah saya ke sebab simpan Al-Quran tadi macam tu?” Aku terkaku tidak tahu mahu membalas apa. Akhirnya aku Cuma membalas, “Taklah, awak tak tahu. Awak tak salah pun. Akak tak boleh marah dan memang akak tak marah pun. Akak tegur ja tadi.” Aku memcuba menarik segaris senyuman dengan harapan untuk menenangkan hatinya bilamana aku lihat reaksinya yang tidak keruan pada ketika itu. “Erm akak, saya nak no. telefon akak boleh? Nanti saya jumpa akak. Ada benda saya perlu terangkan pada akak.” Nah…berderau lagi darah aku saat itu. Pantas aku sebutkan no. telefonku padanya dan sungguh aku teramat berharap untuk mendengar penjelasan daripada gadis itu.
Jumaat, bulan September 2011
Lewat petang sesudah kembali dari kelas. Telefon berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Peti mesej aku buka. Satu no. yang tidak dikenali.
“Assalamualaikum kak, saya yang semalam. Saya nak jumpa akak malam ni boleh? Akak rumah mana? Nanti dalam jam 8.00 malam saya datang.”
Aku memberikan no. rumah aku padanya. Kemudiannya aku kembali menyambung kerja yang tergendala. Tidak lama apabila aku kembali membuka mesej sebentar tadi. ‘Wait the minute…she greet me using assalamualaikum just now???? But yesterday…’ Soalan itu sekadar bermain di dalam kepala. Aku tidakkan apa yang sudah aku rasakan semenjak semalam. Budaya di sini, walaupun mereka bukan beragama Islam, tetapi penggunaan kalimah/kata-kata yang sering diucapkan oleh orang Islam adalah biasa dan menjadi amalam mereka. Tidak hairanlah aku sedikit culture shock mengenai budaya ini sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke sini.
Jam 8.15 malam akhirnya dia bertandang juga ke rumah aku. Aku sekadar berbasa-basi dan melayan cuba melayan tetamu ini sebaik mungkin. Dia mengenaliku dan aku pula sebaliknya. Jujur, aku terasa agak canggung berbual dengan seseorang yang tidak aku kenali. Aku risau tersalah bahasa. Kami berbual sehinggalah apabila dia menyatakan sesuatu yang membuat aku rasa tidak berdarah. “Saya sebenarnya baru peluk Islam hari rabu minggu lepas. Tak ada orang yang tahu. Cuma dua tiga orang rakan terdekat saya. Masa akak tegur saya pasal Al-Quran tu saya risau. Risau takut-takut orang tahu dan tidak boleh menerima saya. Tambahan pula teman akak ketika itu mengenali saya yang sebelum ini satu kepercayaan dengannya.”
SUBHANALLAH…Jika Allah berkehendak maka tiada satu pun yang dapat menghalang. Jika dia mahu membuka mata kita dan menunjukkan sesuatu kepada kita maka hal itu tetap akan terjadi walau apa cara sekali pun. Aku lantas mengucap syukur atas apa yang aku temui sepanjang hari-hari yang aku jalani dalam minggu ini. Ternyata ada hikmahnya bilamana aku terpanggil untuk menghadirkan diri ke bilik mesyuarat pada hari tersebut, bertugas bersama rakan tersebut pada hari berkenaan dan ditugaskan untuk memeriksa kawasan tersebut. Ada hikmahnya bilamana diri ini yang selalunya tidak peduli dengan hal-hal sekeliling tiba-tiba tergerak untuk menegur sesuatu seperti itu lantas membawa aku untuk mendengar kisah yang lebih lanjut tentang perjalanan gadis ini yang membawanya ke arah jalan yang dipilihnya kini.
Sewaktu berbicara tentang pengalamannya sepanjang mencari jalan yang telah dipilihnya ini, aku teringat seorang sahabat. Dia pernah meminta aku untuk bertanyakan kepada seorang rakan aku yang juga saudara baru tentang apa yang membuatnya memilih jalan Islam. Aku yang hilang kata-kata ketika itu lantas menanyakan soalan tentang apa yang membuatkan gadis ini memilih Islam. “Kenapa ramai orang Islam kalau ada saudara baru dia akan tanya soalan macam ni ya?” Pertanyaan ringkas gadis ini membuatkan aku terpana lantas beristighfar sebentar dalam hati. ‘Haa…tu la padan muka curious tak kena cara!’ Dalam diam aku mengutuk diri sendiri. Teringat pesan ibu dan jawapan daripada seorang ustaz yang pernah aku belajar daripadanya. Hidayah Allah datang pada sesiapa sahaja yang dikehendakinya dalam apa jua cara sekalipun. Malah terkadang melalui cara yang tidak pernah kita fikirkan. Hidayah Allah juga datang pada hamba-Nya yang tidak putus asa mencari Dia dan meminta diberikan jalan kearah-Nya. Allah memilih hamba-hamba-Nya yang terpilih untuk diberikan hidayah. Namun dalam masa yang sama kita sebagai hamba juga perlu meminta tanpa rasa putus asa untuk dikurniakan hidayah oleh Allah.
Tengah malam itu aku terima satu pesanan ringkas daripada ibu. Tentang hidayah Allah. Ibu sertakan ayat :
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sungguh, Allah berserta orang-orang yang berbuat baik.”
(Surah Al-Ankabut, ayat 69)
“Dan katakanlah (Muhammad), kebenaran itu datangnya dari Tuhan-mu; barangsiapa mengkehendaki (beriman) hendaklah dia beriman, dan barangsiapa mengkehendaki (kafir) biarlah dia kafir. Sesungguhnya Kami telah menyediakan neraka bagi orang zalim, yang gelojaknya mengepung mereka. Jika mereka meminta pertolongan (minum), mereka akan diberi air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan wajah. (Itulah) minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling jelek. Sungguh, mereka yang beriman dan mengerjakan kebajikan, Kami benar-benar tidak akan mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan perbuatan yang baik itu.”
Ya Rabbi, hari ini Engkau telah menjawab segala teka-teki di yang bermain di benak hamba-Mu ini dalam sekelip mata. Alhamdulillah segala puji bagi-Mu dan kelemahan itu sesungguhnya daripada aku hamba-Mu yang lemah. Semoga nikmat yang aku kecapi ini senantiasa dalam pemeliharaan-Mu Ya Allah…Amin Ya Rabbal ‘alamin.
Nota kaki payung:
Selalu ingat ayat ni……:
“Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas peritah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengkehendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”
(Surah Ar-Ra’d, ayat 11)
Terkadang dalam hidup ini terlalu banyak yang kita persoalkan. Fikirkan kembali yang ia datang daripada Allah. Terima dengan hati terbuka, redha dan percaya. Insyallah hati tenang.
Subscribe to:
Posts (Atom)